ZAAD AL MA'AD

 



Kitab Zaad al-Ma’ad (زاد المعاد)  atau judul panjangnya Zaad al-Ma’ad fi Hady  Khair al-‘Ibad (زاد المعاد في هدي خير العباد) adalah antara karya al-Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah (751H). Diriwayatkan bahawa Ibn al-Qayyim menyusun kitab ini ketika beliau bermusafir sambil duduk atau menunggang di atas untanya. 

Secara asasnya, melalui kitab ini, penulis (Ibnul Qayyim) membentangkan perjalanan sejarah Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam secara sistematik dan tersusun. Beliau memulakan kitabnya dengan keutamaan diutusnya Rasulullah kepada para manusia Diikuti dengan latar-belakang Rasulullah dan keluarganya, ibu susuannya, penjaganya dan fasa dakwah beliau. Kemudian penjelasan tentang sikap dan karektor Rasulullah.

Setelah itu, penulis mengetengahkan pula petunjuk-petunjuk beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, bermula dari persoalan berpakaian dan tatacara bermuamalah. Petunjuk beliau ketika berwudhu, solat, bermula dari takbir sehinggalah salam. Kemudian diteruskan kepada solat jumaat, solat kusuf, solat istisqa’, sehinggalah kepada solat ketika safar serta yang selainnya. Sebenarnya, kitab ini merangkumi pelbagai persoalan agama, dari yang asas sehinggalah kepada yang rumit. Kitab ini membawakan kepada anda persoalan sejarah dan perjalanan hidup Nabi bersama-sama para sahabatnya, yang mana di dalam membentangkan rentetan sejarah tersebut penulis membentangkan sama persoalan wahyu, persoalan iman/tauhid, persoalan bersuci, persoalan solat, ibadah (seperti puasa, haji, zakat, i’tikaf, zikir), ziarah kubur, persoalan wanita, mu’amalah terhadap orang kafir, jihad, kisah-kisah peperangan di zaman beliau, adab-adab seorang muslim, persoalan sihir, perubatan yang terdapat di dalam al-Qur’an dan hadis (Tibbun Nabawi), dan pelbagai lagi yang lainnya di mana di dalamnya terhimpun pelbagai faedah ilmu agama yang sangat bermanfaat.

Memiliki dan membaca kitab ini adalah suatu perkara yang sangat penting bagi setiap Muslim. Kerana, para pembaca akan menemui segala sesuatu yang sangat diperlukan oleh setiap insan, dari seorang tokoh ikutan Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, yang mungkin tidak diperolehi oleh para pembaca dari buku-buku lainnya secara terperinci. Buku ini membahaskan persoalan sejarah (sirah), fiqh dan aqidah dalam satu waktu yang sama, dalam sebuah rangkaian buku.


Komentar

Postingan populer dari blog ini

Filosofi Gondrongers